Bahadoran, Wander Luiz sah sertai Perak

2018-01-11 09:34:35 (10 months ago)
BERITA HARIAN: Perak mengikat ketua pasukan kebangsaan Filipina, Misagh Bahadoran dan pemain Brazil, Wander Luiz bagi memantapkan pasukan itu menghadapi Liga Malaysia 2018.

Pengesahan itu dibuat Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan pada majlis memperkenalkan pemain import The Bos Gaurus hari ini.

Menurut Puhat, Bahadoran menandatangani perjanjian dengan Perak pada 29 Disember lalu manakala Luiz, Jumaat lalu.

Kelab terakhir Bahadoran adalah Global Cebu FC dalam liga Filipina manakala Luiz yang pernah mewakili Kelantan pada 2016 kali terakhir mewakili Al-Raed dalam liga profesional Arab Saudi.

"Mereka lulus pemeriksaan kesihatan dan kecergasan dan atas cadangan ketua jurulatih Perak ditawarkan kontrak," katanya kepada pemberita.

Begitupun PAFA menangguhkan sementara pengambilan tenaga import kelimanya iaitu bagi kuota Asia.

"Berdasarkan dua perlawanan persahabatan setakat ini benteng Perak masih longgar. Oleh itu Perak perlu cari calon sesuai. Setakat ini ada beberapa calon dan saya fikir ia akan diselesaikan menjelang hujung minggu ini," katanya.

Pada majlis itu juga Puhat mengumumkan pelantikan Nasir Basharuddin sebagai kapten sementara Shahrul Saad dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy sebagai penolong kapten.

 


Related